Sunday, 18 December 2011

Kita Dalam Bahaya Bai!

Riya’ adalah lawan dari ikhlas, menampakkan ibadah dengan niat mencari pandangan manusia, sehingga pelakunya akan dipuji, dan dia mengharapkan pujian dan pengagungan dan takut kehilangan hal itu. 
Suma’ah adalah beramal agar didengar orang. 
Sedangkan 'ujub merupakan sahabat riya’. 
Ibnu Taimiyah R.H menerangkan perbezaan keduanya. “Riya adalah perbuatan syirik dengan sebab makhluk, sedangkan 'ujub adalah perbuatan syirik dengan sebab diri sendiri”.

Perbezaan antara riya’ dan sum’ah menurut Al Hafiz Ibnu Hajar Al Asqalani, iaitu riya’ merupakan adanya amal yang diperlihatkan seperti solat, 
sedangkan suma’ah merupakan amalan yang diperdengarkan seperti membaca, memberi nasihat, atau zikir. 
Menceritakan amalnya (dengan maksud agar didengar) juga termasuk suma’ah.
Seseorang Muslim mestilah mengetahui bahawa posisinya sedang terjebak dalam riya' dan suma'ah, jika dia melalui tanda-tanda berikut :
  • Giat bekerja dan melipat-gandakan tenaganya jika mendapat pujian atau sanjungan, dan malas atau cenderung mengurangi amal, jika mendapat celaan dan kecaman. Begitu juga berlaku apabila memperlihatkan ketekunan ketika berada di khalayak ramai sedangkan dirinya cenderung bersifat malas ketika seorang diri atau jauh dari pantauan orang lain. Ciri ini diperkatakan oleh Saidina Ali R.A, "Ada beberapa tanda bagi orang yang riya', yakni malas ketika seorang diri, tetapi sangat rajin ketika sedang bersama orang ramai. Bertambah amalnya, jika mendapat pujian dan berkurang amalnya jika mendapat celaan". (Kitab Ihya Ulumuddin, Imam Al Ghazali, 3/298)

  • Menjauhi larangan-larangan Allah jika bersama manusia dan melanggar larangan-laranganNya, jika ia seorang diri dan jauh dari penglihatan manusia. Rasulullah S.A.W bersabda, "Aku akan mengetahui beberapa kaum dari umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan laksana gunung yang tinggi berdiri megah. Akan tetapi, Allah menjadikannya debu yang berterbangan (tidak berharga). Mereka itu adalah saudara-saudara kalian, dan berasal dari keturunan kalian. Mereka mengerjakan amalan pada waktu malam sebagaimana kalian mengerjakannya. Akan tetapi, mereka adalah kaum yang jika dalam keadaan sendiri akan melanggar larangan-larangan Allah". (Sunan Ibnu Majah)

Keburukan Riya' dan Suma'ah

Riya' atau suma'ah mempunyai pengaruh dan akibat yang berbahaya dan membinasakan, baik kepada para aktivis secara peribadi atau terhadap amal Islami secara umum.

Terhalang Dari Petunjuk (Hidayah) dan Pertolongan (Taufik) Ilahi.

Hanya Allah Taala yang memberi hidayah dan taufik kepada sesiapa yang dikehendaki, serta menghalanginya dari siapa sahaja yang Dia kehendaki. 
Tidak ada yang mampu menonlak ketentuanNya dan tiada seorang pun yang dapat menghalangi keluasan ilmuNya.
KetetapanNya sudah pasti dan pelaksanaannya pasti berlaku bahawa Dia tidak akan memberi petunjuk dan pertolongan kecuali kepada orang yang ikhlas dan benar-benar menghadapkan diri kepada-Nya. 
Firman-Nya bermaksud, "...Dan Dia memberi petunjuk kepada orang-orang yang bertaubat kepadaNya." (Ar Ra'du:27)

"Dan Dia memberi petunjuk kepada (agama)Nya orang yang kembali kepadaNya..." (As Syura:13)

Seseorang yang berlaku riya' dan suma'ah pada dasarnya telah merosakkan ikhlas dan berpaling dari kebenaran. 
Maka bagaimana mungkin orang seperti itu akan mendapat limpahan hidayah atau taufiq dariNya? 
Maha benar firman Allah Taala yang bermaksud, "Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik." (As Shaf:5)

Menderita Kesempitan dan Ditimpa Rasa Gelisah

Orang yang riya' dan suma'ah itu hanya akan melaksanakan sesuatu hal atau pekerjaan semata-mata untuk memperoleh pujian atau penghormatan dari manusia. Allah Taala pasti memakbulkan sesuatu pekerjaan yang dilakukan dengan sesungguhnya menurut peraturan sunnahNya. 
Allah juga Maha Berkuasa memberikan hal semacam pujian manusia kepadanya jika itu yang menjadi keinginannya, bahkan boleh juga mendapat pujian dari Allah jika amal yang dimaksudkan itu semata-mata menuntut keredhaan dariNya. 
Oleh kerana itu, orang yang riya' dan sum'ah akan segera menderita kesempitan dan kegelisahan jika cita-citanya tidak tercapai, sebaliknya orang yang ikhlas akan terus istiqamah sekalipun dihina dan dicerca oleh manusia.

Sehubungan hal itu Allah Taala mengingatkan, "Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatanKu, maka baginya penghidupan yang sempit." (Taha:124)

"...Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan Tuhannya, nescaya akan dimasukkanNya dalam azab yang amat berat." (Jin:17)

Tercabutnya Kewibawaan Dari Hati Manusia

Hanya Allah sahaja yang mutlak berkuasa menanamkan kewibawaan pada hati manusia yang Dia kehendaki.
Sedangkan keikhlasan seseorang dalam setiap perbuatannya adalah laksana ganjaran untuk mewujudkan hal itu.
Seseorang yang berlaku riya' atau suma'ah tidak memiliki ganjaran tersebut. Kerana itu, Alah mencabut kewibawaan dirinya dari hati manusia. 
Sebaliknya, Allah akan menumbuhkan rasa hina manusia. Sebaliknya, Allah akan menumbuhkan rasa hina dalam pandangan mereka terhadap dirinya.

FirmanNya bermaksud, "Barangsiapa yang dihinakan oleh Allah, maka nescaya tidak ada seseorangpun yang akan memuliakannya." (Al Hajj:18)

Para salafus soleh benar-benar telah mengawasi hal ini. Mereka adalah kelompok manusia yang paling memelihara keikhlasan amal kepada Allah. 
Dengan demikian, wibawa atau kedudukan mereka tetap melekat di dalam dada dan hati manusia. Banyak sekali kisah kebaikan yang terpancar tentang mereka sekalipun sudah ribuan tahun jasad mereka ditelan zaman. 
Akan tetapi, cukuplah bagi kita memperhatikan wasiat yang diungkapkan oleh Umar Al Khattab R.A kepada Abu Musa Al Asy'ari, "Siapa sahaja yang mengikhlaskan niatnya (kepada Allah) nescaya Allah akan mencukupkan (urusan) antara dia dan manusia". (Kitab Ihya Ulumuddin, 4/378).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...